Bekas penjaga gol Al-Nassr, Waleed Abdullah, mendedahkan bahawa bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, berminat untuk mempelajari agama islam selepas menikmati kehidupan baru di Arab Saudi.

Abdullah yang tampil sebagai tetamu dalam satu rancangan televisyen di Arab Saudi, berkongsi perbualannya dan etika Ronaldo ketika bersama Al-Nassr serta menjelaskan bahawa dia cukup menghormati budaya yang berbeza.

“Saya bercakap dengan Cristiano Ronaldo mengenai Islam. Dia mempelajari mengenai solat dan makna di sebaliknya, dia juga menggalakkan pemain beragama Islam untuk menunaikan solat, kadang-kala meminta jurulatih untuk menghentikan latihan ketika azan berkemundang.

"Ini membuktikan dia seorang yang berminat dengan budaya yang berbeza dan membuktikan dia seorang individu yang baik.”

"Pada awal kehadirannya bersama kelab, saya sangat rapat dengan Cristiano kerana dia tidak mengetahui tentang budaya di sini, kelab dan beberapa aspek lain. Dia sentiasa ingin tahu dan bertanyakan beberapa soalan secara terperinci."