Persatuan Bola Sepak Ghana masih menaruh harapan agar Nico Williams mengubah fikirannya untuk mewakili Sepanyol.

Williams menerima panggilan pertamanya ke skuad senior Sepanyol menjelang perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) bulan ini yang menyaksikan Luis Enrique memberi kesempatan sulung kepadanya dari bangku simpanan dalam kekalahan 1-2 kepada Switzerland.

Nico pernah menyatakan keutamaannya adalah untuk mewakili negara kelahirannya sambil abangnya, Inaki, memilih untuk mewakili negara kelahiran ibu bapa mereka, Ghana.

Bagaimanapun, Ghana masih berharap Nico dapat mengubah pendiriannya berikutan peraturan baru yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabang (FIFA) pada 2020 -- iaitu pemain boleh mewakili negara baru di sebalik pernah membuat kemunculan kompetitif untuk negara lain andai mereka memenuhi kriteria tertentu seperti yang Nico lakukan.

Perubahan tersebut hanya tertakluk sekiranya seseorang pemain itu memegang dua kewarganegaraan sebelum membuat penampilan sulung mereka, termasuk membuat kurang daripada tiga penampilan kompetitif ketika berumur di bawah 20 tahun selain jarak tiga tahun di antara perlawanan terakhirnya.

Justeru, presiden badan induk negara itu, Kurt Okraku, tetap akan menantikan jawapan daripada Athletic Bilbao tersebut.

"Dia telah dipanggil menyertai Sepanyol dan saya mendoakan yang terbaik untuknya tetapi dia akan pulang (ke Ghana)", katanya kepada Marca.

“Saya tahu dia akan pulang.

“Inaki juga sempat bermain untuk Sepanyol. Kami akan terus berunding, dia salah seorang daripada kami."