MOZAMBIQUE 2 GHANA 2

Ghana melepaskan dua gol dalam waktu kecederaan untuk diikat 2-2 dengan Mozambique dalam aksi terakhir Kumpulan B, Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Stadium Olimpik Ebimpe awal pagi tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan peluang mereka untuk ke pusingan 16 kian tertutup selepas hanya mengumpulkan dua mata daripada tiga perlawanan.

Jordan Ayew menjaringkan dua gol sepakan penalti, masing-masing pada minit ke-15 dan 71, yang memberikan gambaran bahawa The Black Star akan melepasi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah pada penghujung perlawanan penting itu apabila Geny Catamo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-91 sebelum Reinildo Mandava menjaringkan gol penyamaan dramatik berselang tiga minit.

Dengan kedua-dua pasukan itu keciciran mata, ia menyaksikan Mesir memintas Ghana ke tangga kedua Kumpulan B biarpun pasukan itu sekadar mencatatkan keputusan 2-2 dengan pendahulu, Cape Verde, dalam satu lagi perlawanan.

Sebagai rekod hanya dua pasukan teratas setiap pasukan dan empat pasukan di tangga ketiga terbaik akan layak ke pusingan kalah mata.