Rio Ferdinand mendedahkan David Beckham dalam usaha menubuhkan konsortium untuk membeli bekas kelab Manchester United daripada keluarga Glazer.

Pemilik dari Amerika Syarikat (AS) itu telah mengesahkan bahawa mereka sedang meneroka kemungkinan menjual sebahagian atau semua pegangan saham mereka selepas 17 tahun memilikinya.

Penyokong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah lama meminta Glazers agar melepaskan saham mereka selepas mereka dilabel kurang hala tuju dan kejayaan di atas padang sejak sedekad lalu.

United dinilai oleh Forbes dengan tanda harga $4.6 bilion (RM20.6b) yang akan mengatasi nilai £4.25b (RM19b) yang dibayar Todd Boehly untuk membeli Chelsea sebagai pengambilalihan paling menguntungkan dalam sejarah sukan itu.

Sebelum ini terdapat sebilangan pihak yang dilaporkan sedang menimbang untuk membuat tawaran termasuk dari Arab Saudi.

Menurut bekas rakan sepasukannya itu, Beckham -– yang merupakan pemilik bersama kelab Inter Miami -– merupakan antara individu yang berminat untuk membeli saham Glazer.

A post shared by David Beckham (@davidbeckham)




"(Tawaran) Becks akan tiba dengan konsortium. Saya bertemu Becks pada hari perlawanan (England lawan AS); kami duduk bersebelahan," kata Ferdinand dalam rancangan Vibe with Five YouTube.

"Apabila anda menyebut seseorang seperti nama Becks, dia merupakan sebahagian pemilik Inter Miami tetapi dia akan tidak datang [sendirian]. Ia bukan wangnya.

"Dia akan tiba bersama konsortium. Dia datang dengan orang yang mempunyai dana besar yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan perjanjian seperti itu.

"Itulah cara dia akan mendekatinya dan ia satu tindakan tepat.

"Saya fikir ia akan dipengaruhi oleh faktor angka. Jika anda mempunyai angkanya dan ia boleh meneruskan tawaran, itulah yang akan berlaku."