Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, akan membuat laporan polis dan mendapatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan sumber asal e-emel surat layang sambil tidak menolak siasatan dalam akan turut dibuat jika ia melibatkan staf organisasi tersebut.

Hamidin dalam sidang media selepas Kongres FAM Ke-30 hari ini turut menyifatkan surat tersebut satu tohmahan selain datang daripada pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.

"Saya sedih surat layang itu datang pada 10 malam terakhir Ramadan tapi kita kena tabah untuk menghadapinya.




"Kita tahu apabila surat layang ini keluar, netizen akan terus menghukum," katanya.

Semalam, surat layang yang dihantar menerusi e-mel kepada media membuat dakwaan berlakuknya salah guna kuasa dalam pengurusan FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Semua perkara melibatkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu ianya perlu melalui Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan.

Berdasarkan Statut FAM, laporan berhubung perkara ini akan dihantar kepada Jawatankuasa Integriti FAM, sebuah badan bebas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dato' Seri Dr. Aseh Haji Che Mat serta dibarisi ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada antaranya wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dinilai dan diperhalusi.




"FAM juga sedang menimbang untuk membuat laporan polis berhubung surat layang tersebut kerana ia telah menimbulkan persepsi negatif terutama dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air dan juga antarabangsa.

"Kita juga akan cuba mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan dari mana sumber asal e-mel surat layang tersebut dan jika ia melibatkan staf FAM, siasatan dalaman turut akan dibuat," katanya.