Pertembungan penuh dramatik menyaksikan Belanda dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tangan Austria dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Euro 2024 sebentar tadi.

Austria memasuki perlawanan terakhir berdepan barisan pemain Belanda yang bertaraf bintang menyedari kemenangan mampu menyaksikan mereka berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati.

Mempamerkan dominasi permainan sejak permulaan permainan, sesuatu yang tidak dijangka, Austria mula mengintai peluang untuk memecah benteng akhir The Oranje.

Mereka akhirnya berjaya mendahului permainan susulan gerakan agresif Austria dari bahagian sayap menyaksikan Donyell Malen menampan masuk bola ke gawang sendiri.

Belanda seakan hilang rentak dalam perlawanan penting ini, gagal menguasai permainan dengan cemerlang sekaligus mengehadkan peluang mereka mendapatkan jaringan penyamaan.

Perlawanan kekal dengan keputusan 1-0 ketika kedua-dua pasukan menuju bilik persalinan.

Bagai dihembus semangat baru, Belanda tidak perlu menunggu lama untuk mengikat jaringan, bermula daripada serangan balas yang direncana Xavi Simons, pemain RB Leipzig itu berjaya melakukan lorongan buat Cody Gakpo untuk menjaringkan gol seminit selepas perlawanan bersambung.

Austria tidak membenarkan situasi membebankan mereka apabila kembali mendahului menerusi tandukan Romano Schmid pada minit ke-59.

Pengendali Belanda, Ronald Koeman kian terdesak dan membawa masuk seorang lagi penyerang, Wout Weghorst untuk mendapatkan jaringan.

Ternyata percaturan itu membuahkan hasil apabila hantaran Weghorst itu berjaya disambar Memphis Depay untuk kembali menjadikan kedudukan terikat 2-2 pada minit ke-77.

Apa yang menjadi perlawanan ini penuh dramatik apabila Austria terus menghadirkan jawapan di depan gol -- kali ini giliran Marcel Sabitzer meledak gol ketiga ketika perlawanan berbaki sembilan minit.

Belanda mengasak habis-habisan kubu pertahanan Austria namun gagal menemui jalan untuk mendapatkan gol penyamaan sekaligus terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 di Berlin.