Merih Demiral menjadi watak penting dalam memacu Turkiye melangkah ke pusingan suku akhir EURO 2024 selepas dua jaringannya mencetuskan kemenangan 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Arena Red Bull, Leipzig, sebentar tadi.

Separuh masa pertama berakhir dengan Austria ketinggalan 0-1 selepas rembatan Merih Demiral pada minit pertama menewaskan Patrick Pentz untuk memberikan Turkiye kelebihan satu gol di hadapan.




Masuk babak kedua, Merih Demiral sekali lagi menambah koleksi jaringan bersama Turkiye selepas menanduk masuk bola hasil daripada sepakan penjuru yang dihantar kemas oleh Arda Guler pada minit ke-59.

Begitupun, kerja keras anak buah Ralf Rangnick pada minit ke-66 membuahkan hasil selepas pemain gantian, Michael Gregoritsch, menjaringkan gol pertama buat Austria yang juga melalui sepakan penjuru sekali gus merapatkan jurang perbezaan jaringan.

Beberapa serangan yang diatur Austria untuk mencari jaringan penyamaan tidak berjaya susulan barisan pertahanan Turkiye yang lebih agresif menjaga gawang daripada dibolosi.

Malah, peluang terakhir Austria hadir pada minit terakhir perlawanan melalui tandukan bebas tetapi Mert Günok cemerlang menafikan percubaan itu.



Skuad kendalian Vincenzo Montella bakal berdepan cabaran Belanda dalam pusingan suku akhir EURO 2024 pada 7 Julai nanti.