Bruno Fernandes melanjutkan kontraknya di Manchester United sehingga 2027.

Jeneral tengah itu percaya momen terbaiknya bersama pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan tiba tidak lama lagi.

Fernandes menyertai United daripada Sporting CP pada Januari 2020 dengan yuran awal bernilai £47 juta (RM267.49 juta) dan dia kemudian terus mencipta sensasi di Old Trafford.

Pemain kebangsaaan Portugal itu menjaringkan 12 gol dalam musim pertamanya sewaktu pandemik COVID-19 di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer sebelum menghasilkan 28 jaringan dalam kesemua pertandingan dalam musim penuh pertamanya di England.

Setakat ini, Fernandes sudah mengumpulkan 79 gol daripada 234 penampilan bersama United, di mana dia turut menghasilkan 67 bantuan jaringan dan menjadi pemain yang mencipta paling banyak peluang dalam EPL sejak menyertai liga itu pada 2020.

“Semua orang tahu bertapa saya amat semangat untuk Manchester United,” kata kapten United itu kepada saluran media kelab berkenaan.

“Saya memahami tanggungjawab dan kepentingan memakai jersi ini dan tahap dedikasi dan keinginan yang diperlukan untuk mewakili kelab yang luar biasa ini.

“Saya sudah mempunyai begitu banyak detik istimewa di sini, mendengar nama saya dinyanyikan dari Stretford End, menjaringkan hatrik menentang Leeds, mengetuai pasukan turun di Old Trafford pada malam Kejohanan Eropah dan menjulang trofi di Wembley.

“Tetapi saya tidak akan menandatangani kontrak ini jika saya tidak percaya bahawa detik terbaik saya ketika menyarung jersi United akan tiba.

“Daripada perbincangan saya dengan kepimpinan dan pengurus kelab ini, amat jelas betapa berazamnya setiap orang untuk berjuang memburu trofi utama bagi tahun-tahun mendatang.

"Saya dapat melihat betapa positifnya masa depan kami dan saya gembira memimpin pasukan ini ke hadapan," katanya.