Manchester United dan Crystal Palace masing-masing didenda sebanyak £55,000 (RM297,120) kerana gagal mengawal kelakuan pemain mereka sewaktu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Traffrod.

Konfrontasi besar berlaku dalam babak kedua perlawanan itu, di mana Casemiro kemudian dibuang padang kerana didapati mencekik leher Will Hughes.

Insiden itu bermula selepas Jeffrey Schlupp melakukan terjahan keras ke atas Antony sebelum kedua-dua pemain itu dilayangkan kad kuning.

Jurucakap Persatuan Bolasepak England (FA) berkata: "Manchester United dan Crystal Palace, masing-masing menerima dan menafikan bahawa mereka gagal memastikan pemain mereka mengawal diri dengan cara yang teratur dan mengelakkan daripada melakukan provokasi.

"Suruhanjaya Kawal Selia Bebas kemudian mendapati pertuduhan terhadap Crystal Palace terbukti dan mengenakan denda ke atas kedua-dua kelab berkenaan."

Masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala EFL, United seterusnya akan berdepan West Ham dalam pusingan keempat Piala FA awal pagi esok manakala Crystal Palace pula akan meneruskan saingan EPL dengan bertandang ke laman Aston Villa hujung minggu ini.