Indonesia membawa cabaran Asia Tenggara ke pentas separuh akhir Kejohanan Piala Asia B-23 apabila menyingkirkan pasukan pilihan Republik Korea dalam aksi suku akhir awal pagi tadi.

Penjaga gol Garuda Muda, Ernando Ari muncul wira pasukan Asia Tenggara itu selepas menafikan dua sepakan penalti bagi mengakhiri cabaran Young Taegeuk Warriors, 11-10 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi suku akhir 120 minit.

Namun di sebalik aksi bagai seorang perwira penjaga gol itu, apa yang turut menarik perhatian adalah statistik perlawanan yang berlangsung di Stadium Abdullah Bin Khalifa itu.

Indonesia melakukan jumlah keseluruhan percubaan sebanyak 21 kali berbanding 8 yang dilakukan Korea, digit berganda itu cukup memberitahu perlawanan ini Indonesia ternyata garang menghasilkan peluang demi peluang untuk mendapatkan jaringan.

Skuad Garuda Muda itu tewas dalam aksi pertama bertemu Qatar namun kini memiliki peluang terbaik untuk mendapatkan slot ke Sukan Olimpik Paris jika menamatkan saingan dalam kelompok tiga pasukan terbaik kejohanan.