LIVERPOOL 4 FULHAM 3

Liverpool melancarkan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Fulham 4-3 selepas beberapa pertahanan goyah mensia-siakan dua jaringan bertaraf dunia yang disumbangkan Trent Alexander-Arnold dan Alexis Mac Allister di Anfield, awal pagi tadi.


The Cottagers kelihatan akan menjadi kelab pertama -- sejak Real Madrid melakukannya pada Februari lalu sementara yang pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak ditewaskan Leeds pada Oktober 2022 – yang mengutip tiga mata di Anfield bersandarkan penyudah pemain gantian, Bobby De Cordova-Reid, pada minit ke-80.

Begitu, kemenangan itu mungkin terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas Jurgen Klopp memberi bayangan bahawa Joel Matip mungkin perlu berehat lama buat Liverpool selepas mengalami kecederaan awal ketika bertemu Fulham, awal pagi tadi.

Pertahanan berusia 32 tahun itu terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua selepas mengadu tidak selesa dan pengurus itu kemudian mengesahkan melalui Liverpool Echo bahawa Matip mungkin perlu diketepikan untuk beberapa lama.

Dengan Ibrahima Konate turut berdepan masalah kecederaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ketiadaan Matip akan menjadi isu utama untuk ditampung The Reds menjelang musim perayaan.

Justeru, ia mungkin mendorong Klopp untuk berbelanja lagi dalam jendela perpindahan Januari.




Klopp berkata: “Kami kehilangan Joel pada hari ini dan kami belum melakukan ujian imbasan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

"Tetapi selepas segala yang saya dengari jadi saya berasa ia tidak akan pulih dalam masa yang singkat.

"Ia membabitkan bahagian lututnya. Malangnya, tetapi kami perlu melalui semua ini.”