Pengendali Liverpool, Arne Slot dilihat masih belum menyenaraikan Wataru Endo dalam kesebelasan utama The Reds dalam dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jurulatih berusia 45 tahun ini enggan melayan beberapa tawaran untuk pemain tengah dari Jepun menjelang tarikh akhir perpindahan 30 Ogos ini dan The Reds satu-satunya pasukan EPL yang tidak berbelanja dalam jendela perpindahan musim panas ini selepas bidaan untuk mendapatkan Marin Zubimedi ditolak Real Sociedad.

Endo hanya memanaskan bangku simpanan dalam aksi pembukaan EPL menentang Ipswich Town dan dimasukkan pada minit akhir permainan ketika Liverpool melakar kemenangan berturut-turut ke atas Brentford di Anfield hujung minggu lalu.


Menurut Slot, dia masih menagih khidmat Endo meskipun belum menyenaraikan pemain tengah Jepun itu dalam kesebelasan utama The Reds dalam dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

“Ia bukannya mengenai pemain itu sendiri, ia mengenai persaingan yang dihadapinya. Kami mempunyai ramai pemain tengah yang bagus. Kami benar-benar gembira dengan cara Endo berlatih untuk kami tetapi persaingan sihat dan saya fikir anda melihat persembahan yang baik daripada ketiga-tiga pemain tengah ketika ini. Dia amat penting untuk kami musim ini kerana kami memerlukan kesemuanya, kita semua tahu berapa lama musim boleh berakhir di sini dan berapa ramai pemain yang anda perlukan.” kata Slot.