Frank Lampard memuji penyokong Everton dan menganggap kelab itu sebagai sesuatu yang istimewa di hatinya selepas dipecat daripada jawatan pengurus awal minggu ini.

Lampard dipecat pada Isnin lalu selepas kekalahan 0-2 pasukannya kepada West Ham, di mana Everton tergelincir ke tangga ke-19 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mata yang sama dengan Southampton di bawah mereka.

Pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea itu menyertai Everton pada Januari tahun lalu bagi menggantikan Rafael Benitez dan dia tidak pernah menjadi pengganti yang benar-benar diinginkan penyokong The Toffees.

Lampard kemudian membina hubungannya bersama penyokong Everton, di mana kemenangan dalam enam perlawanan terakhir musim lalu memastikan mereka kekal dalam EPL, termasuk ketika bangkit menewaskan Crystal Palace 3-2 di Goodison Park.

Bagaimanapun, pemergian tonggak serangan, Richarlison, pada Jun lalu dan masalah kecederaan yang dialami Dominic Calvert-Lewin telah menjejaskan prestasi Everton musim ini.

Mereka hanya memenangi tiga kali dalam saingan liga musim ini dan Lampard menerima padah apabila menjadi pengurus keenam dipecat Farhad Moshiri, yang melakukan pelaburan buat kelab itu sejak 2016.

A post shared by Frank Lampard (@franklampard)


Lampard awal pagi tadi mengirimkan satu ucapan selamat tinggal buat Everton, di mana ucapan berkenaan turut dikongsikan oleh Persatuan Pengurus Liga (LMA).

"Menyertai Everton musim lalu, saya sedar kita sedang berada dalam waktu sukar dan saya sentiasa berbangga dengan usaha luar biasa dan sokongan daripada setiap orang yang terlibat untuk memastikan pasukan ini kekal dalam EPL," tulis lampard.

"Terima kasih kepada semua yang memainkan peranan masing-masing, di mana seluruh kelab ini saling bekerjasama. Saya tidak akan melupakan momen yang kita kongsi bersama, iaitu malam di mana kita berdepan Palace.

"Saya mahu berterima kasih kepada Evertonians atas sambutan yang diberikan buat saya, staff dan keluarga saya. Ia benar-benar sebuah kelab istimewa dengan jiwa yangh besar, dan dengan sejarah yang luar biasa.

"Saya kecewa kita tidak dapat mencapai sesuatu yang lebih besar bersama dan saya mendoakan yang terbaik buat setiap pemain dan semua di Everton FC bagi masa akan datang."