ASTON VILLA 1 ARSENAL 0

Mikel Arteta bertekad mengetepikan satu lagi dakwaan Persatuan Bolasepak (FA) selepas pengurus Arsenal itu enggan mengambil peduli dua keas kontroversi dalam kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Aston Villa, awal pagi tadi.


Jaringan John McGinn pada minit ke-7 sudah memadai untuk tuan rumah mengutip tiga mata dan hanya ketinggalan dua mata daripada pendahulu, Liverpool, dan telah memenangi 15 perlawanan liga berturut-turut, sekali gus menjadi sejarah kelab.

Kali terakhir Villa gagal mencatat kemenangan ialah kekalahan kepada Arsenal di tempat sendiri pada Februari lalu, tetapi kali ini mereka tampak bertenaga untuk memburu tiga mata.

Arsenal mensia-siakan beberapa peluang terhidang sambil rayuan sepakan penalti tidak diendahan berikutan terjahan Douglas Luiz terhadap Gabriel Jesus, manakala Kai Havertz menganggap dia telah menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir perlawanan tetapi hanya untuk dikecewakan apabila bola dikesan sudah terkena tangannnya.

Dalam kedua-dua situasi tersebut, video bantuan pengadil (VAR) memihak kepada pengadil, Jarred Gillett, namun Arteta yang menonton dari kotak pengarah di Villa Park kerana menjalani penggantungan satu perlawanan tetap enggan menarik balik pandangannya mengenai VAR memandangkan telah dihukum oleh FA atas komennya dalam kekalahan 0-1 kepada Newcastle United, bulan lalu.

Ditanya mengenai kedua-dua panggilan itu, pemain Sepanyol itu menjawab: “Jelas dan nyata. Terang-terangan.”



Arteta kemudian mengulanginya dengan berkata: “Jelas dan nyata, itulah yang saya maksudkan. Inilah pendapat saya, itu sahaja yang boleh saya katakan.”

Arteta juga ditanya mengenai reaksinya ketika ditemubual Sky Sports selepas perlawanannya dan dia berkata: "Saya lebih suka untuk tidak mengulas. Saya mempunyai pendapat yang keras."

Sebaliknya, dia berasakan pasukannya telah berusaha sedaya upaya untuk memenangi perlawanan.

“Saya sangat kesal dengan keputusan ini terutama mengenai corak permainann kami,” katanya.

“Saya rasa kami lebih layak meraih ganjaran lebih besar. Kami adalah pasukan yang lebih baik. Saya tidak pernah melihat ada kelab lain yang mampu mengasak mereka sebagaimana yang kami lakukan ke atas Villa dalam kemenangan kami di sini pada Februari lalu.

"Bagaimanapun, ia belum cukup untuk kami memenanginya kerana kami tidak mempunyai ketajaman dalam kotak penalti lawan untuk melakukan penyudah tepat di sebalik jumlah peluang yang kami hasilkan."