Bekas penyerang sensasi Liverpool, Luis Suarez beri pujian tinggi buat Darwin Nunez selepas penyerang nombor sembilan Uruguay itu menjaringkan dua gol ketika menentang Bolivia.

Nunez kini dalam prestasi cemerlang bersama Liverpool dan Uruguay dengan catatan 12 jaringan dan sembilan bantuan gol sejak awal musim.

Dua gol ketika aksi menentang Bolivia menyaksikan Nunez di bawah kendalian Marcelo Bielsa kini cetak lima gol serta tiga bantuan gol selepas enam perlawanan, memastikan individu itu dalam rentak terbaik menjelang pertemuan getir Liverpool dan Manchester City pada sabtu.

Antara pemain yang tidak asing lagi dengan Liverpool dan Uruguay, Luis Suarez yang menghabiskan masa selama tiga tahun setengah di Merseyside serta dikenali ramai antara pemain terbaik pernah menyarung jersi merah itu.

Bercakap selepas kemenangan ke atas Bolivia, Suarez menyifatkan rakan senegaranya itu adalah antara penyerang nombor sembilan terbaik di dunia ekoran prestasi cemerlang.

"Saya ada salah seorang pemain nombor sembilan terbaik dunia di hadapan saya, iaitu Darwin Nunez. Kita perlu manfaat kelebihan ini dan menikmatinya," kata Suarez yang masuk menggantikan Nunez pada minit ke 73, dipetik daripada El Pais.

"Dia ada kebolehan seperti saya, Edinson Cavani, Erling Haaland dan semua orang. Bagaikan campuran segala-galanya, gol, komitmen dan pengorbanan buat pasukan yang perlu diberi dihargai.

"Kini saya dalam peranan yang berbeza dan saya gembira berada di sini untuk membantu pasukan, apa yang perlu saya lakukan adalah memberikan sumbangan."

Suarez yang berusia 36 tahun itu mencetak sebanyak 82 gol dalam 133 penampilan bersama Liverpool pada tahun 2011 hingga 2014.

Stadium Etihad bakal jadi destinasi seterusnya buat The Reds dan Darwin Nunez, di mana kemenangan bakal memberikan kelebihan moral dan satu lonjakan positif jika mereka mahu merampas gelaran juara Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City.