Pengendali Croatia, Zlatko Dalic, bersedia untuk merehatkan tonggak utama pasukannya bagi mengelak risiko penggantungan menjelang aksi menentang Iceland dalam saingan Kumpulan D, Piala Dunia 2018.

Croatia menjadi pasukan yang menafikan peluang Iceland untuk tampil dalam saingan empat tahun lalu apabila mereka memenangi kedua-dua aksi play-off, sebelum diundi dalam kumpulan sama ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Walaupun kedua-duanya layak ke Russia, Iceland lebih unggul apabila menjuarai kumpulan dengan kelebihan dua mata mengatasi Croatia.

Pasukan bimbingan Dalic itu telah mengesahkan tempat dalam pusingan kedua susulan kejayaan ke atas Nigeria dan Argentina, sekali gus membolehkan pengendali itu merehatkan enam pemain yang berisiko untuk meraih layangan kad kuning tambahan sehingga digantung, termasuk Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic.

"Saya gembira berada di tangga teratas peringkat kumpulan," ujar Dalic.

"Bagaimanapun, saya harus berhati-hati kerana segelintir pemain sudah dilayangkan kad kuning, jadi saya akan mengubah kesebelasan utama.

"Saya tidak akan menurunkan pemain yang telah menerima kad kuning kerana ia sangat berisiko. Tambahan, kami mempunyai 22 pemain yang mampu beraksi."

Sementara itu, pengendali Iceland, Heimir Hallgrimsson, berharap anak-anak buahnya dapat mengambil kesempatan di atas situasi yang dilalui Croatia untuk merebut slot kedua ke kelompok 16 daripada Kumpulan D.

"Kami sedar akan situasi yang berlaku apabila turun menentang Croatia. Ia sentiasa menjadi aksi yang sengit," katanya.

"Kebiasaannya, ia sangat getir, tidak menghadirkan banyak peluang dan sentiasa dipenuhi kad kuning.

"Dalam tiga daripada empat perlawanan, kami meraih satu kad merah."