Antonio Conte tiba di England selaku pengurus Tottenham Hotspur pada November 2021 -- satu berita yang membawa kegirangan kepada penyokong setelah menderita di bawah pimpinan pengurus terdahulu yang serba tidak menjadi, Nuno Espirito Santo.

Terkenal dengan gayanya yang tegas dan mementingkan disiplin, seluruh pasukan dilatih dengan keras sehingga akhirnya berjaya memintas seteru ketat, Arsenal, untuk menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris pada penghujung musim dan meraih kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Ketika ini, Tottenham menduduki tangga kelima dan bakal berhadapan dengan AC Milan dalam pusingan UCL yang seterusnya.

Di atas kertas, ia kelihatan baik-baik sahaja, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana mereka tidak segah yang disangka.

Persembahan Spurs ada kalanya memberangsangkan dan mengagumkan seperti sewaktu menang ke atas juara bertahan, Manchester City, minggu lalu biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Namun, ia disusuli pula oleh kekalahan memalukan 4-1 di tangan Leicester beberapa hari lalu, di mana pemain-pemain Spurs dilihat tidak bersemangat dan seolah-olah berputus asa sebelum wisel penamat ditiupkan lagi.

Musim ini menyaksikan mereka kalah lapan kali gara-gara aksi tidak konsisten sebegini.

Sewaktu ketibaan Conte, dari mula lagi dirinya diberikan label tersendiri -- pengurus yang pasti mendatangkan perubahan positif tetapi juga pengurus yang tidak pernah kekal lama di satu tempat.

Berulang-ulang kali disebutkan sejak sekian lama, Conte tidak berpuas hati dengan kualiti pemain yang dibawa masuk oleh Spurs.

Menurutnya, biarpun pemain-pemain sedia ada mempunyai kualiti tersendiri, ia mustahil untuk mereka bersaing dengan kelab-kelab gergasi lain yang melaburkan berjuta-juta pound demi memastikan pasukan mereka dipenuhi bintang-bintang terkenal.

Menurut akhbar The Sun, pengerusi Tottenham, Daniel Levy, turut tidak banyak membantu dalam hal-ehwal pembelian pemain, malah memburukkan lagi keadaan.

Ini dapat dilihat menerusi Djed Spence, pemain bek kanan dari Middlesbrough yang dibeli dengan harga £20 juta (RM105 juta).



Spence dikhabarkan dibawa masuk oleh Levy sendiri tanpa mendapat persetujuan Conte. Hasilnya, setelah hanya lima perlawanan, dia dipinjamkan ke kelab Perancis, Rennes.

Yuran perpindahannya seakan-akan dicampakkan ke dalam longkang oleh Conte kerana itulah yang dilakukannya tanpa ragu-ragu apabila pemain tidak memuaskan hatinya.

Lebih teruk lagi, Conte dilaporkan tidak gembira di England gara-gara berjauhan dengan ahli keluarga -- isterinya Elisabetta dan anak perempuan mereka, Vittoria, masih menetap di Itali.

Kehadiran dan sokongan dua individu itu teramat diperlukan Conte di saat dia kehilangan tiga sahabat karib.

Gian Piero Ventrone, jurulatih kecergasan Spurs yang telah lama berkhidmat di sisi Conte, meninggal dunia pada bulan Oktober.

Ini diikuti oleh kematian Sinisa Mihajlovic, seorang lagi sahabat, serta Gianluca Vialli, bekas rakan sepasukannya di Juventus.

Di saat dia tidak gembira, timbul pula ura-ura bahawa pasukan AC Milan yang bakal dihadapi sedang mempertimbangkan untuk menggantikan pengurus terkini, Stefano Pioli, atas sebab persembahan mengecewakan yang ditunjukkan pasukan itu musim ini.

Nama Conte disebut-sebut sebagai calon utama untuk menggantikan Pioli, namun gara-gara Conte pernah menjawat tugas sebagai pengurus Inter Milan, seteru tradisional AC Milan, pelantikannya dikhuatiri tidak akan berlaku.

Segala-galanya bakal ditentukan dalam beberapa bulan lagi. Jika Spurs gagal untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kelayakan ke Liga UCL, pemergian Conte sudah hampir pasti terjadi.