BAYERN MUNICH 5 FREIBURG 0

Eric Maxim Choupo-Moting menerima pujian khas daripada ketua jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann, selepas mempamerkan pesona bintang ketika membelasah Freiburg 5-0 dalam perlawanan Bundesliga di Arena Allianz awal pagi tadi.

Berdepan pasukan yang tidak pernah tewas dalam 11 perlawanan terakhir, Bayern jelas mendominasi dengan Choupo-Moting mengetuai jentera serangan mereka dengan menyudahkan peluang satu lawan satu dan membantu satu lagi jaringan.

Bekas pemain Mainz, Schalke dan Paris Saint-Germain (PSG) itu beraksi selama 66 minit sebelum digantikan dengan Jamal Musiala.

Ia merupakan kali pertama pemain berusia 33 tahun itu memulakan perlawanan buat Bayern sepanjang musim ini.



Pada ketika dia meninggalkan padang, pemain kebangsaan Cameroon itu telah pun memberikan keyakinan buat Nagelsmann bahawa dia akan diberikan lebih peluang untuk mengisi kesebelasan utama bagi baki saingan musim ini.

"Choupo melakukannya dengan amat baik, dia membawa kejayaannya dan mempraktikkannya di atas padang dan amat jelas dia layak untuk bermain lebih awal," kata Nagelsmann.

"Saya amat gembira mendapat pemain sepertinya, Kami sedar kami boleh bergantung kepada Choupo.

"Dia melakukan jaringan yang hebat. Dia pemain serba boleh yang hebat. Kami gembira dia berada di sini," katanya.