FREIBURG 0 BAYERN MUNICH 1

Bayern Munich melunaskan dendam ke atas Freiburg dan kekal mendahului Borussia Dortmund dengan kelebihan dua mata di tangga teratas Bundesliga selepas meraih kemenangan 1-0 di Europa-Park Stadion malam tadi.

Pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu disingkirkan Freiburg dalam perlawanan DFB Pokal pada Rabu lalu tetapi menebus kembali kehampaan itu berselang empat hari untuk meneruskan pemburuan gelaran liga domestik buat kali ke-11 berturut-turut.

Jaringan daripada sepakan jarak jauh Matthijs de Ligt selepas enam minit babak kedua bersambung sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Bayern berikutan aksi tangkas yang dipamerkan penjaga gol lawan, Mark Flekken, kerap menghampakan jentera serangan mereka.

Freiburg, yang sebelum ini tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan terakhir, tidak dapat memberikan respons yang dicari-cari, sekali gus memberikan Bayern kemenangan liga kedua berturut-turut sejak Tuchel mengambil alih pasukan itu.