Lionel Messi mengetuai senarai pencalonan Ballon d'Or lelaki selepas membawa Argentina menjulang Piala Dunia.

Erling Haaland, Harry Kane, Jude Bellingham dan Bukayo Saka turut dalam senarai pendek 30 pemain untuk hadiah berprestij yang diterbitkan oleh penganjur, France Football, awal pagi tadi.

Messi yang sudah pun merekodkan tujuh gelaran pemain terbaik dunia sekali lagi menjadi pilihan.

Pemain berusia 36 tahun itu yang kini mewakili Inter Miami menjadi inspirasi utama ketika membantu negaranya mengungguli temasya di Qatar hujung tahun lalu dengan meledak tujuh gol dalam kejohanan berkenaan.

Haaland, yang menyumbat 52 gol untuk Manchester City yang melengkapkan tiga gelaran musim lalu merupakan salah seorang daripada tujuh pemain City yang disenaraikan.



Bekas ketua pasukan, Ilkay Gundogan, yang kini berada di Barcelona sementara Julian Alvarez, Ruben Dias, Kevin De Bruyne, Rodri dan Bernardo Silva juga antara calon lain.

Kapten England, Harry Kane, juga dicalonkan selepas mencetak 40 gol untuk kelab dan negara sebelum beralih angin ke Bayern Munich.

Rakan sepasukan di kem England, Bellingham, yang kini membintangi Real Madrid sementara Saka daripada Arsenal turut menikmati kempen yang hebat.

Selain itu, antara bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) lain yang tersenarai ialah penjaga gol Aston Villa yang memenangi Piala Dunia, Emi Martinez, penyerang Liverpool, Mohamed Salah, dan tonggak Arsenal, Martin Odegaard.

Pemenang lima kali, Cristiano Ronaldo, yang mewarnai kancah Arab Saudi bersama Al-Nassr buat kali pertamanya tidak dicalonkan sejak 2003.