Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan bangganya memperkenalkan pasukan dan livery JDT Racing Team yang akan mengambil bahagian dalam Kejuaraan Asia Road Racing Championship 2024 kategori ASB1000 bermula pertengahan bulan ini.

Pasukan JDT Racing Team akan menggunakan jentera Ducati Panigale V4R dan diterajui oleh pelumba tempatan yang juga bekas pelumba MotoGP, Hafiz Syahrin Abdullah sudah mula menjalani ujian pramusim di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada penghujung Februari.

Jentera motosikal Hafizh akan diselia oleh dua mekanik yang didatangkan khas dari Ducati Racing Team iaitu ketua krew, Loris Caroli dan mekanik, Edoardo Ardemagni yang berpengalaman luas dalam sukan permotoran dua roda.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata JDT secara keseluruhan teruja dengan penglibatan dalam sukan permotoran dan berharap pasukan JDT Racing Team dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam tahun pertama di ARRC.

"Penglibatan JDT dalam sukan permotoran dua roda ini adalah bukti jenama JDT yang kukuh dan semakin meluas selepas terlibat dalam sukan bola sepak, hoki ais, ragbi, futsal dan tinju.

"Usaha terbaharu ini disasarkan untuk mengembangkan lagi jenama JDT kepada khalayak global dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa," katanya.

Sementara itu Hafizh Syahrin sendiri tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana dipilih sebagai pelumba untuk pasukan ini dan mahu membuktikan keupayaannya beraksi di ARRC 2024 sambil dibantu mekanik dari Itali.

"Semestinya saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada projek ini dan saya menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor atas kepercayaan yang diberikan kepada saya.

"Dengan bantuan ketua krew dan mekanik yang didatangkan dari Ducati, sudah tentu saya mahu membuktikan keupayaan dengan memberikan kejayaan meskipun ini adalah tahun pertama pasukan ini bersaing di ARRC."

JDT Racing Team akan memulakan saingan ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac sebelum mengakhiri sirkit enam perlumbaan di litar yang sama pada 6 hingga 8 Disember 2024.

Jadual perlumbaan Asia Road Racing Championship 2024
Pusingan 1 - Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand (15-17 Mac 2024)
Pusingan 2 - Litar Antarabangsa Zhuhai, China (19-21 April 2024)
Pusingan 3 - Mobility Resort, Motegi, Jepun (7-9 Jun 2024)
Pusingan 4 - Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, Indonesia (26-28 Julai 2024)
Pusingan 5 - Litar Antarabangsa Petronas Sepang (13-15 September 2024)
Pusingan 6 - Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand (6-8 Disember 2024)