Dani Alves memberitahu rakan sepasukannya di Juventus, Paulo Dybala, agar meninggalkan juara Serie A jika mahu memenuhi potensi yang dimilikinya.

Dybala dikatakan bakal menggantikan Lionel Messi di Argentina selepas menjaringkan dua gol ketika membantu Juve menewaskan Barcelona dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou dan juara LaLiga, Real Madrid, dan Alves percaya dia pasti akan pergi satu hari nanti untuk menjadi pemain yang lebih berkualiti.

“La Joya (nama panggilan Dybala) pasti akan pergi.

“Kami ada berbual beberapa kali dan saya memberitahunya, saya tidak tahu bila tetapi dia pasti perlu meninggalkan Juventus untuk menjadi pemain yang lebih baik,” kata Alves.

Dybala memenangi kejuaraan Scudetti dan Coppa Italia sejak menyertai The Old Lady pada 2015 dan turut berada dalam kesebelasan utama ketika Juventus tewas 4-1 di tangan Real Madrid dalam final UCL 2016/17.

Sementara itu, Alves terbuka apabila ditanya mengenai perpindahannya ke Liga Perdana Inggeris walaupun masih memiliki kontrak setahun di Turin.

“Saya menolak beberapa tawaran dari sana pada musim lalu.

“Jika ingin ke England, anda perlu tahu bagaimana menjadi pertahanan yang bagus dan sama ada saya akan ke sana atau tidak, tiada siapa tahu,” ujar Alves.