Pertembungan dua darjat antara kelab Liga A1 Semi-Pro, PT Athletic, berakhir dengan kekalahan besar berpihak kepada gergasi Liga Super Malaysia, Sabah, dengan agregat 0-7 dalam saingan Unifi Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Nazrulerwan Makmor selaku ketua jurulatih PT Athletic menjelaskan anak buahnya sudah memberi segala yang termampu untuk mengimbangi perlawanan, namun terpaksa akur dengan keampuhan jentera pemain tuan rumah yang dibarisi kualiti berpengalaman.

"Sebenarnya saya ingin ke final. Setidaknya saya mahu mencipta sejarah supaya pasukan pertama daripada liga amatur layak ke aksi akhir dan membanggakan komuniti bola sepak di Putrajaya.




"Insya-Allah kami sedang menyelesaikan masalah luar padang. Apa yang saya janjikan sebelum habis liga, kami akan langsaikan segala yang tertunggak dan tidak akan berutang dengan siapa-siapa," katanya kepada sidang media selepas permainan semalam.

Sementara itu, pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin, menggesa Sang Badak supaya mempertajamkan aspek penyudah di depan gol selain elak melakukan kesilapan mudah jika ingin melangkah lebih jauh dalam edisi kali ini.

"Mereka kerap menyukarkan kami tatkala menyekat beberapa asakan. Kredit dan pujian harus diberikan kepada mereka.

"Tiada peluang yang terbuka buat kami tetapi kami tetap berjaya menanganinya. Kami banyak mensia-siakan percubaan.

"Sekiranya kami mahu pergi jauh dalam kejohanan ini, kami harus memperbaiki serangan kami. Saya tidak pernah melayakkan diri ke final, jadi saya mahu lakukannya dalam edisi kali ini," katanya.