Penyokong bola sepak Selangor mengalu-alukan langkah kerajaan negeri untuk mengheret kes yang membabitkan penyerang Selangor, Faisal Halim, yang disimbah asid Mei lalu ke mahkamah.

Menurut kenyataan Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid kepada media tempatan, tindakan itu dianggap tepat bagi membela nasib pemain kebangsaan itu selepas kes berkenaan sehingga kini tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

"Ini satu pembelaan buat Faisal, sudah terlalu lama dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk membawa perkara ini dengan guna saluran undang-undang cukup baik.

"Kita sebagai penyokong memberi sokongan sepenuhnya agar pesalah dapat diheret ke mahkamah dan diberi hukuman setimpal." Katanya dalam kenyataan tersebut.

Malah jelasnya lagi, dalam kes yang membabitkan Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai Mickey itu seharusnya tidak hanya pelakunya sahaja yang perlu diheret ke muka pengadilan tetapi juga pihak yang berada di belakang untuk merancang segala perlakuan tersebut harus menerima akibat yang sama.