Nuri Sahin memohon agar penyokong Borussia Dortmund untuk kekal tenang dan percaya di sebalik permulaan perlahan mereka musim ini.

Dortmund ketika ini menduduki tangga ketujuh Bundesliga dengan 10 mata daripada enam perlawanan pertama dan melalui waktu rehat antarabangsa selepas dua kekalahan berturut-turut.

Jaringan Kevin Vogt dan Yorbe Vertessen membantu kemenangan 2-1 Union Berlin dalam aksi terakhir Dortmund, sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Sahin itu tewas dua kali berturut-turut di laman lawan dan hanya mendapat satu mata daripada kunjungan mereka musim ini.

Sahin, yang dilantik jurulatih Dortmund pada Jun lalu, menegaskan prestasi pasukannya di tempat lawan akan menjadi keutamaan walaupun fokus utamanya adalah untuk melayani kunjungan St. Pauli di laman sendiri hujung minggu ini.


"Bukan saya mahu lari daripada perlawanan di tempat lawan atau apa-apa seperti itu tetapi ia fakta bahawa kami hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan di tempat lawan dalam liga," kata Sahin.

"Jika anda berada di tangga ke-16 dalam carta tempat lawan, anda tidak akan mencapai matlamat anda. Anda perlu membina daripadanya.

"Kami boleh melakukannya dengan gembira sebelum perlawanan menentang Augsburg... Kemudian kami boleh bercakap mengenainya. Tetapi kini tumpuan penuh saya adalah kepada perlawanan di tempat sendiri menentang St Pauli.

"Untuk meragui kemampuan kami selepas enam hari perlawanan akan membawa padah.

"Bukan itu yang akan kami lakukan. Kami akan mengikut cara kami sendiri. Sudah tentu anda perlu membuat penyesuaian dengan setiap perlawanan yang anda hadapi."