Kapten Liverpool, Virgil Van Dijk, beranggapan Manchester United seperti 'tidak dihormati' selepas pasukan itu melakar keputusan seri 2-2 berdepan pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield, semalam.

Gol penyamaan daripada Amat Diallo menafikan tiga mata yang hampir diraih The Reds selepas Mohamed Salah menjaringkan gol untuk mendahului United menerusi sepakan penalti pada minit ke-70.

Skuad kendalian Arne Slot itu sebelum ini dijangkakan akan meraih kemenangan mudah susulan Manchester United masih bergelut untuk mencapai momentum terbaik mereka selepas kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut.





Van Dijk berasakan lawannya itu dipandang rendah semasa dalam sesi persiapan sebelum perlawanan bermula.

"Adakah saya rasa United tidak dihormati? Ya. Saya dengar dalam sidang media, seseorang bertanyakan sama ada kami akan menggunakan pemain simpanan menentang mereka.

"Saya terkejut. Ia adalah salah satu perlawanan terbesar musim ini dan mereka akan sentiasa menjadikannya sukar. Mendengar perkara itu, saya terkejut.





"Kami beraksi menentang lawan yang bagus. Saya rasa semua orang dalam dunia ini lupa. Mereka pemain yang bagus. Mereka jelas sedang proses seperti kami, tetapi mereka menyukarkan kami." katanya.