Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, mahu segera pulang ke tanah air selepas memenangi pingat emas Sukan Para ASEAN di Solo, Indonesia bagi menyambut cahaya matanya.

Ketika Ziyad sedang berjuang mempertahankan pingat emas acara lontar peluru di Solo, isterinya, Zafirah Nasir, sedang sarat mengandung.

Satu-satunya harapan atlet berusia 32 tahun itu selepas menyelesaikan tanggungjawabnya berjuang demi negara adalah agar sempat pulang ke pangkuan isterinya untuk menyambut cahaya mata ketiganya.

"Saya ke sini kerana mahu mempertahankan pingat emas yang telah saya memenangi sejak edisi 2011," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Yeoh Pek Xian

"Pada 2011, saya memenanginya di Solo dan selepas 11 tahun, saya masih memenanginya di venue yang sama ini.

"Mempertahankan emas ini merupakan satu perkara yang saya dapat banggakan kerana ia menunjukkan saya masih mampu untuk melakukannya.

"Kepada isteri saya, saya mahu berterima kasih kepadanya kerana sentiasa ada di samping saya walau apapun keadaan.

"Saya harap dia dapat menunggu sehingga saya berada di sisinya untuk melahirkan anak kami yang ketiga," katanya.

Semalam, Ziyad meneruskan dominasinya dalam acara lontar peluru F20 di Stadium Manahan dengan lontaran sejauh 16.92 meter.

Ia merupakan pingat emas kelimanya dalam temasya itu sejak edisi di Surakarta pada 2011.

Pingat perak pula dimenangi seorang lagi atlet negara, Mohamad Aliff Mohamad, dengan lontaran sejauh 13.46m manakala wakil Thailand, Boonkong Sanepoot (13.29m) memenangi gangsa.