Atlet lontar peluru negara, Ziyad Zolkefli, tetapi berbangga menyumbangkan pingat gangsa buat Malaysia dalam Sukan SEA Hanoi 2021 biarpun turun dengan status atlet para.

Juara dunia para dua kali itu memastikan dia tidak pernah pulang tangan kosong dalam tiga edisi Sukan SEA yang disertainya walaupun bersaing dengan atlet normal.

Terdahulu, dia memenangi pingat gangsa dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017 dan perak dalam edisi di Manila tiga tahun lalu.

Aksi final di Stadium My Dinh hari ini menyaksikan atlet berusia 32 tahun itu memenangi satu lagi pingat gangsa selepas muncul atlet ketiga terbaik dengan balingan sejauh 17.20 meter.

Pingat perak dimenangi wakil Thailand, Jakkapat Noisri (17.32m) manakala wakil Filipina, Edward William Morrison (18.14m), dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Ziyad dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, berkata: "Saya rasa, saya pergi ke sini, buat yang terbaik dan saya dapat pingat gangsa, itu sudah cukup sebagai satu penghargaan buat diri saya.

"Maksudnya, tiga kali saya pergi Sukan SEA, tiga kali juga saya bawa pulang pingat.

"Apapun, syukur Alhamdulillah, saya telah buat yang terbaik dengan gangsa yang dapat saya sumbangkan.


"Saya pernah buat yang lebih baik dengan 17.29 meter tetapi itu dalam Sukan Paralimpik di London pada 2017.

"Tetapi untuk musim ini, ini adalah yang terbaik dapat saya lakukan untuk saya menggapai impian mendapatkan kembali jarak lontaran saya.

"Apa yang saya bawa datang ke sini adalah semangat. Semangat untuk mengharumkan nama negara dan nama keluarga saya.

"Apabila melihat saya atlet Paralimpik bertanding di sini, ramai yang terkejut apabila saya mendapatkan pingat.

"Saya bukan hanya membawa nama saya sendiri, saya juga membawa nama rakan-rakan Paralimpik saya yang lain juga, saya mengharumkan nama mereka juga," katanya.