Ketika ramai memilih untuk bersama keluarga bagi sambutan Deepavali hari ini, jaguh wanita skuasy negara, S. Sivasangari, pula terpaksa meluangkan waktunya di dalam pesawat demi sukan skuasy.

Sehari selepas menerima anugerah khas dalam Majlis Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) di Putrajaya semalam, Sivasangari hari ini sudah pun berlepas ke Singapura bagi menyertai Kejohanan Skuasy Terbuka Singapura di OCBC Arena bermula Selasa ini.

"Terima kasih. Saya sedang berlepas ke Singapura untuk kejohanan," katanya ringkas ketika dihubungi Stadium Astro.

Sebagai rekod, Sivasangari merupakan atlet paling cemerlang dalam Sukan Asia di Hangzhou pada Oktober lalu, di mana dia memenangi pingat emas acara perseorangan wanita dan berpasukan wanita.