Terengganu akan tetap memberikan insentif atau imbuhan kepada semua atlet dari negeri itu yang mencipta kejayaan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang baru sahaja berakhir.

Menteri Besarnya Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa buat masa ini beliau masih menunggu laporan penuh mengenai perkara itu.

"Saya masih lagi menunggu laporan penuh mengenai pencapaian kita dan apa yang perlu kita buat. Sebab yang paling penting juga adalah bagaimana kita ingin melaksanakan pelan strategi yang lebih kemas supaya
dua tahun lagi kita akan mampu pertingkatkan keadaan (pencapaian) dan tentulah sasaran kita ke depan ini ialah untuk menjadi juara.





"Insentif itu tetap ada In Sha Allah tapi kita akan tunggu laporan penuhlah sebelum buat keputusan...termasuklah atlet yang dihantar tanpa melalui kerajaan negeripun, kita akan buat keputusan kemudian" Katanya di Kuala Terengganu hari ini.

Sebelum ini Hishamuddin telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa keterlibatan atlet terjun negeri itu di SUKMA 2024 di Sarawak dibuat tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Ia adalah selari dengan kenyataan Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini yang menegaskan tiada penglibatan atlet dari Terengganu yang akan menyertai acara renang dan terjun di SUKMA 2024 kerana kod etika pemakaian yang disifatkan tidak mematuhi syariah.

Bagaimanapun ketika temasya itu berlangsung, atlet terjun Terengganu adalah antara yang paling menyerlah di temasya itu dan mampu membawa pulang beberapa pingat untuk Terengganu.

Skuad terjun Terengganu berjaya membawa pulang dua pingat perak dan tiga gangsa dalam acara terjun Sukma Sarawak 2024.