Pengendali sementara Terengganu, Badrul Afzan Razali, berpuas hati dengan kejayaan pasukannya melangkah ke suku akhir Unifi Piala Malaysia.

Terengganu lolos ke suku akhir dan bakal bertemu Negeri Sembilan apabila berjaya merekodkan kemenangan 4-1 secara agregat Melaka seri tanpa jaringan

"Walaupun bergelut kerana keadaan padang becak akibat hujan sejak awal perlawanan lagi, tapi kita bersyukur selepas berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

"Pada perlawanan malam ini (malam tadi), kami rancang untuk memburu jaringan lebih awal di tempat sendiri biarpun dengan kelebihan tiga gol, tapi faktor cuaca sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan pasukan.

"Ini semua kita perlu hadapi kerana musim tengkujuh sudah melanda negeri Terengganu, jadi saya ingatkan pemain agar tidak boleh menoleh ke belakang sebaliknya terus melihat ke depan, ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Ketika ditanya perubahan pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukannya, Badrul Afzan yang mengambil alih tugas itu pada awal bulan lalu akui tidak mahu mengambil risiko dalam keadaan cuaca sekarang.

"Perubahan pemain yang diturunkan berbanding aksi pertama disebabkan saya tidak mahu mengambil risiko dengan merehatkan beberapa pemain kerana pada minggu depan kita akan beraksi dalam saingan Liga Super pula," katanya.