Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, merakamkan sanjungannya buat James Milner, Roberto Firmino, Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita yang akan meninggalkan Anfield penghujung musim ini.

Kuartet itu akan mengucapkan selamat tinggal apabila kontrak masing-masing berakhir bulan depan dan dijanjikan perlawanan perpisahan yang penuh beremosi ketika menentang Aston Villa di halaman sendiri.

Keempat-empatnya akan berlalu pergi selaku pemenang Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sambil Firmino dan Milner, yang tiba pada musim panas 2015 beberapa bulan sebelum Klopp menggantikan Brendan Rogers, memainkan peranan lebih besar, pengurus itu berkata keempat-empatnya telah memberi sumbangan penting buat pasukan.

“Semua ini teramat penting buat kami dan sangat beremosi atas sebab-sebab berbeza kerana kami akan mengucapkan selamat jalan buat empat legenda Liverpool.

“Dua daripada mereka -- Millie (Milner) dan Bobby (Firmino) -- ada di sini sewaktu saya tiba. Tiada satu pun daripada pencapaian kami sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini diperoleh jika tanpa mereka,” kata Klopp seperti dilaporkan oleh Daily Mail.



Sambil merakamkan penghargaan istimewanya kepada Firmino, pengurus The Reds itu menambah bahawa penat-lelah Milner dalam sebegitu banyak perlawanan turut tidak boleh diperkecilkan.

“Saya fikir saya adalah pengurus yang dia bermain paling banyak perlawanan dalam kerjayanya, begitu juga dengan Bobby.

“Penghormatan tertinggi saya juga buat Ox (Oxlade-Chamberlain) dan Naby atas sebab-sebab berbeza.

“Ox kurang bernasib baik pada ketika tertentu yang penting disebabkan kecederaan yang kerap dialaminya.

“Saya masih ingat perlawanan menentang Roma (aksi UCL 2018) apabila dia cedera teruk dan saya tak tahu apa yang hendak dibuat kerana dia terlalu bagus pada waktu itu dan tidak boleh digantikan oleh sesiapa.

“Semua orang tahu kami berbelanja besar buat Naby dan harapan terhadapnya sentiasa tinggi. Tapi disebabkan kecederaan pada waktu yang salah, dia tidak dapat memenuhi semua harapan ke atasnya,” katanya lagi.



Milner akhir-akhir ini dikaitkan dengan perpindahan ke Brighton tapi masa depan tiga pemain selebihnya masih kurang jelas walaupun mereka pastinya tidak akan kekurangan tawaran.

Klopp menambah: “Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka dan berharap pemain-pemain ini akan dihormati dan ditagih keupayaan mereka seperti ketika mereka bersama Liverpool.

“Setiap seorang daripada mereka telah memenangi hampir setiap trofi dan kami sayangkan mereka. Tapi ini bola sepak profesional dan tiada yang kekal selama-lamanya.

“Akan sentiasa ada satu momen dan ia momen yang baik kerana ia bermakna satu babak akan tertutup dan kita boleh mula menulis satu babak yang baru – sesuatu yang baik buat kami dan juga mereka.

“Saya akan sentiasa berterima kasih kepada Millie, Bobby, Ox dan Naby kerana tanpa mereka, tiada apa-apa yang akan berlaku.

“Mereka terlalu penting dalam kesemuanya yang mereka lakukan dan inilah salam perpisahan yang selayaknya buat keempat-empat legenda Liverpool ini.”