Pengarah Teknikal Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas, berkata persatuan itu tetap dengan pendirian meneruskan pencarian bakat muda untuk diketengahkan bagi sukan terjun dan renang.

Dalam masa sama, persatuan itu tidak berminat untuk masuk campur isu skuad terjun Terengganu, yang dikatakan melanggar polisi kerajaan negeri itu dengan menyenaraikan penerjun Muslim bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 baru-baru ini.

Bryan menegaskan, jika Terengganu masih meneruskan polisi yang sama dalam Sukma yang akan datang, penerjun dan perenang mereka boleh memilih untuk bertukar kontinjen agar penyertaan mereka tidak menjadi kontroversi.

"Saya ada membaca berita tentangnya beberapa hari lalu tetapi kami di MAS sentiasa menggalakkan lebih ramai penyertaan tidak kira lelaki atau wanita," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Jika Kerajaan Negeri (Terengganu) memiliki polisi mereka sendiri, kami tidak boleh buat apa.

"Apa yang kami boleh buat ialah mencuba untuk mencari penyelesaian kerana kami juga masih belum berhubung dengan pihak Terengganu sebab seperti yang dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN), biarlah majlis sukan negeri itu dan persatuan di sana menyelesaikan perkara berkenaan," katanya.