Ireland kehilangan khidmat Garry Ringrose dan Iain Henderson menjelang penentuan Grand Slam menentang England dalam Kejohanan Ragbi Enam Negara hujung minggu ini.

Ia selepas kedua-dua pemain tonggak itu mengalami kecederaan serius ketika menewaskan Scotland hujung minggu lalu.

Pasukan bimbingan Andy Farrell itu layak ke penentuan Grand Slam buat kali pertama sejak 2018 selepas menewaskan Wales, Perancis dan Itali sebelum mencatatkan kemenangan 22-7 ke atas Scotland di Murrayfield.

Bagaimanapun, kemenangan terbaru itu dicemari dengan kecederaan serius di kepala Ringrose, di mana pemain tengah itu dilihat terpaksa memakai topeng oksigen sewaktu diusung meninggalkan padang.

Henderson, dalam pada itu, akan turut terlepas perlawanan akhir kempen berkenaan kerana perlu menjalani pembedahan retak tulang lengan.

Pasukan itu memaklumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan dengan berkata: "Garry Ringrose kelihatan baik hari ini dan dia telah pulang ke Dublin.

"Dia tidak lagi akan mengambil bahagian dalam kejohanan edisi tahun ini.

"Iain Henderson akan menjalani pembedahan hari ini kerana keretakan tulang lengan yang dialaminya dalam perlawanan tempoh hari.

"Pemain baru, Ross Molony, telah disenaraikan ke dalam pasukan bagi menyediakan pemain tambahan di barisan kedua."