Pemain veteran Phoenix Suns,Chris Paul, masih enggan mengulas mengenai peluangnya untuk melakukan penampilan pertama dalam Final NBA biarpun pasukannya kini sedang mendahului Los Angeles Clippers 3-1 dalam siri final Persidangan Barat.

Suns menang 84-80 ke atas Clippers dalam perlawanan ketiga hari ini, di mana mereka hanya dipisahkan dengan satu lagi kemenangan untuk melakukan penampilan pertama dalam Final NBA sejak 1993.

Paul, 36, melakukan penampilan pertama dalam NBA pada 2005 dan pernah 11 kali disenaraikan sebagai All Star tetapi belum pernah beraksi dalam siri final kejohanan itu.

"Tidak sehingga tugas kami selesai. Kita boleh bercakap mengenainya kemudian tetapi buat masa ini, fokus kami perlu sentiasa tajam," kata Paul dalam sidang media selepas perlawanan.

"Tiga kemenangan masih belum memastikan kemenangan dalam siri ini. Kami telah melakukan apa yang kami mahu lakukan. Cuma hanya tinggal satu kemenangan lagi. Kami perlu kekal fokus. Kami memerlukan satu lagi kemenangan," katanya.

Apabila ditanya mengenai kegagalannya layak ke siri final terdahulu, Paul menambah: "Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Jangan terikat dengan sesuatu perkara. Saya berada di sini sekarang, teruja dengan peluang ini.

"Apa yang saya perlu bimbangkan hanyalah perlawanan kelima."