Terengganu memburu gol awal untuk menghasilkan momentum kemenangan dalam misi hidup mati Piala Shopee bertemu PSM Makassar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali, perlu mencari ramuan untuk mengimbangi kerapuhan di bentengnya di sebalik berpeluang merencana kesebelasan utama terbaik.

"Apa pun terjadi, kami perlu kutip tiga mata untuk ke suku akhir.

"Walaupun mahu dapatkan gol awal, pertahanan kami perlu lebih fokus.

"Saya ambil masa dua hari untuk perbetulkan kesilapan kami dibolosi empat gol ketika bertemu JDT (Johor Darul Ta'zim) dan menukar Safawi Rasid dan Azam Azmi.

"Saya harap ia tidak berlaku lagi ketika bertemu Makassar.




"Makassar mempunyai pemain yang berkualiti terutama penyerang import tinggi lampai (Nermin Haljeta).

"Kami perlu betul-betul fokus apabila bola mati. Tekanan sudah tentu ada jadi kami kena sedia dan fokus," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Sementara itu, tonggak import dari Filipina, Manuel Ott, turut menyuarakan harapan untuk terus menyalakan harapan meneruskan kemaraan.

"Piala Shopee berbeza separuh akhir Piala Malaysia.

"Kami perlu fokus untuk layak ke psuingan seterusnya. Kami yang meletakkan diri sendiri dalam situasi ini, kami mahukan tiga mata sebelum ke Bangkok untuk perlawanan seterusnya.

"Kami bermain baik dalam Piala Shopee cuma dua keputusan perlawanan awal tidak menyebelahi kami.

"Kami cuma perlu perkemaskan aspek bertahan dan serangan.

"Kami lebih fokus untuk perbaiki diri sendiri berbanding reputasi pihak lawan. Layak ke pusingan seterusnya penting untuk kami," katanya pula.