UZBEKISTAN 2 THAILAND 1

Thailand menjadi pasukan ASEAN terakhir mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia Qatar 2023 apabila tewas 1-2 di tangan Uzbekistan dalam aksi pusingan 16 di Stadium Al Janoub malam tadi.

Selepas Malaysia dan Vietnam tersingkir di peringkat kumpulan dan perjuangan Indonesia ditamatkan dengan dibelasah Australia 0-4 dalam pusingan 16, kini tiba giliran gergasi Asia Tenggara, Thailand, mengemas bagasi.

Azizbek Turgunboev meletakkan Uzbekistan di depan pada minit ke-37 dengan mengawal baik bola daripada hantaran Diyor Kholmatov sebelum melepaskan percubaan voli yang menewaskan Patiwat Khammai.

Thailand kemudian menyamakan kedudukan hasil penyudah lencong Supachok Sarachat pada minit ke-58 tetapi tujuh minit kemduian, Uzbekistan kembali di depan menerusi jaringan jauh Abbosbek Fayzullayev yang sudah cukup untuk membawa pasukan itu ke suku akhir.

Uzbekistan seterusnya akan bertemu juara bertahan dan pasukan tuan rumah, Qatar, bagi penentuan ke separuh akhir di Stadium Al-Bayt pada Sabtu ini.