AUSTRALIA 1 REPUBLIK KOREA 2

Son Heung-min memikul watak wira ketika memastikan Republik Korea bangkit menewaskan Australia 2-1 selepas masa tambahan di Stadium Al-Janoub awal pagi tadi, sekali gus layak ke separuh akhir Piala Asia Qatar 2023.

Kemenangan sukar itu menghidupkan peluang Korea dalam memburu gelaran Asia ketiga dan yang pertama sejak 1960, di mana mereka akan bertemu Jordan -- yang menewaskan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan lebih awal -- bagi penentuan ke final.

Segalanya tampak sukar buat Korea dalam perlawanan itu, di mana Craig Goodwin meletakkan Australia di depan pada minit ke-42.

Mujur Hwang Hee-chan berhasil menyempurnakan sepakan penalti dalam waktu kecederaan untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Son kemudian melepaskan satu sepakan percuma gemilang pada minit ke-104 untuk memastikan kemenangan Korea sambil malang berganda menimpa Australia apabila Aiden O'Neill dilayangkan kad merah pada penghujung separuh pertama masa tambahan.

"Ini bukan cara yang kami inginkan untuk memenangi perlawanan tetapi kami sentiasa bersedia untuk berusaha keras," kata Son.

"Kemenangan dengan cara ini akan membantu meningkatkan moral seluruh pasukan.

"Saya benar-benar tersentuh dengan pengorbanan dilakukan semua orang dalam pasukan ini

"Setiap orang dalam pasukan ini wajar mendapat pujian," katanya.