Ketua jurulatih Kelana United, Fairuz Montana, berjanji akan memastikan dua pemain Sukma dalam pasukannya kekal dalam kondisi terbaik sebelum melepaskan mereka ke Sarawak.

Dua pemain itu memilih untuk membantu Kelana United memandangkan mereka ketika ini tidak memiliki pemain yang mencukupi untuk mengharungi Liga Wanita Nasional.

"Saya tidak akan melepaskan tanggungjawab itu kerana mereka berada di sini bersama saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Sebagai jurulatih, saya juga mahukan mereka berada dalam skuad Sukma.

"Kami ada Nur Dhiyaa dan Waitie (Taming), jadi saya sudah meminta kebenaran daripada Pahang dan Sabah untuk mereka bersama kami dan saya akan pastikan mereka sudah bersedia apabila tiba bersama pasukan masing-masing," katanya.

Kelana United mencipta sensasi apabila cemerlang dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dengan rekod tanpa bolos untuk kini menerajui LWN biarpun tanpa persediaan rapi.