Pemain tengah, Muhammad Safiee Ahmad, bertekad membantu PDRM FC mencapai prestasi lebih baik berbanding musim lalu meskipun sedar The Cops kehilangan beberapa tonggak utama yang mengambil keputusan untuk berhijrah.

Pemain yang juga anggota berpangkat lans koperal itu percaya muka baru yang akan memperkuatkan pasukan musim ini mampu memberi tambah nilai buat Sang Saka Biru.

Tonggak kelahiran Kota Samarahan, Sarawak, itu turut menakui kejayaan menjulang Piala Cabaran MFL 2023 sebagai kenangan paling manis dalam karier bola sepak profesionalnya sejak menyarung jersi PDRM pada 2015.



"Kami akan mengharungi musim 2024 dengan muka baru jadi kami perlu berusaha dapatkan rentak seperti musim lalu.

"Kami sasar untuk kekal di pertengahan liga.

"Walaupun ramai yang kata ia sekadar Piala Cabaran tetapi sebenarnya ramai yang mengidamkannya.

"Ia piala pertama dalam karier satu, Ia menjadi satu kebanggaan buat pasukan dan keluarga saya," katanya.

Untuk rekod, Safiee telah beraksi dalam 25 perlawanan bagi semua kejohanan yang disertai PDRM musim lalu.