Sejak daripada awal larian kontinjen Selangor sudah memimpin perlumbaan dalam acara 4x400 meter kategori bawah 18 tahun lelaki sebelum meraih pingat emas dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024.

Kejayaan tersebut menyaksikan kuartet MSS Selangor itu mencatatkan larian 3 minit 18.98 saat untuk menduduki tempat pertama acara tersebut.

"Saya sangat berbangga dengan diri sendiri terutamanya sebagai pelari terakhir buat Selangor.

"Saya tidak dapat menghadiahkan pingat emas dalam acara 4x100m dan berazam untuk tebus semula dalam 4x400m.

"Saya cakap kepada diri sendiri, saya mahu buat yang terbaik untuk Selangor kerana saya sudah berada di tingkatan lima dan berkemungkinan MSSM terakhir saya," kata Danish Irfan Tamrin.

Sementara itu, kuartet MSS Johor menawan trek larian Stadium Ipoh, Perak, untuk menewaskan pihak lawan iaitu barisan atlet dari Terengganu dengan catatan masa 3m 57.61s.