Hai, ini kali pertama Syen Yeoh menulis dalam ruangan rencana di sini.

Untuk makluman di Astro Arena, saya adalah wartawan merangkap pemain Pahang Tulips.

Tiga hari sesudah mengakhiri peringkat liga sepusingan Netball Super League (NSL), sebenarnya saya tidak dapat lari daripada berasa betapa peritnya kegagalan kali ini atas kegagalan membawa sebarang kemenangan buat Pahang Tulips.

Apa pun memasuki musim ketiga NSL, saya tetap berbangga masih berkesempatan untuk bergelar sebagai atlet sekalipun dalam kesibukan bekerjaya di Astro Arena, namun setiap tahun jugaklah bertukar kelab.

Saya juga rasa sangat bertuah untuk membuat liputan dalam Sukan Asia di Hangzhou sejak 20 September dan pulang 9 Oktober kemudian.

Sepanjang 19 hari di sana, jadual harian saya agak padat, pendek kata keluar awal pagi dan pulang hari sudah gelap jadi manalah sempat untuk latihan kecergasan.

Sebaik pulang ke Malaysia, saya hanya sempat menjalani persiapan selama tiga hari -- iaitu kurang seminggu sebelum perlawanan pertama membabitkan Pahang Tulips menentang Selangor Angels.




Mahu atau tidak, saya kenalah cekalkan diri menjalani latihan berintensiti tinggi yang boleh mengundang kecederaan.

Memang benar dalam minggu pertama sahaja otot paha saya telah terkoyak tapi ia tidak menggoyahkan semangat saya untuk beraksi.





NSL 2023 daripada persepsi saya adalah jauh lebih baik berbanding penganjuran edisi lalu menerusi kehadiran ramai pemain import.

Tahun lalu menyaksikan hanya Johor Jewels yang menjadi mengetegahkan pemain import dan penyertaannya semakin rancak -- cuma Pahang Tulips dan Selangor Angels yang masih menggunakan kudrat pemain tempatan.

Ia menjadikan NSL semakin menarik dengan kehadiran bintang dari luar negara serta berpeluang menambah lagi pengalaman di atas gelanggang.

Selain aksi separuh akhir hujung minggu ini yang melibatkan pertemuan di antara Johor Jewels dan Perak Phoenix, sukar untuk meramalkan hasil pertemuan KL Wildcats dengan Putrajaya Dynamites di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Anda juga akan disajikan dengan perlawanan istimewa membabitkan di antara Arena All Stars dalam ERAvengers dan lihat kehebatan lontaran Datuk Zainal Abidin Hassan dan Zainal Abidin Rawop.