Seperti jalanraya yang sesak setiap kali Majlis Konvokesyen berlangsung, begitulah meriahnya perkongsian mengenai majlis graduasi atlet di semua platform media sosial minggu ini. Terutamanya yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sudah seperti kilang atlet.

Sebelum ke Sukan Asia Hangzhou 2023, pelari kebangsaan, Jonathan Nyepa ada membuat hantaran di akaun instagramnya – seperti dia sedang memegang buah tangan terakhirnya beserta kata ringkas “pepatah pernah berkata… kerja keras bebas cemas”

Nampak segalanya sudah pun dimuktamatkan apabila atlet yang baru sahaja mempertahankan pingat emas acara pecut 100meter di Grand Final Varsity Track and Field 2023 pada 19 November lalu, bukan sahaja meraikan segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47, malah diangkat sebagai penerima pingat Razlan Putra.

A post shared by Jonathan Nyepa (@jonathan_nyepa)



Anugerah yang diberikan atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum ini juga pernah diraih oleh Kapten Bola Jaring Kebangsaan, Nur Syafazliana Mohd Ali pada Majlis Konvokesyen UPM ke-42.




Kesempatan untuk terlibat sama dengan pemain pertahanan yang kini bertugas di National Netball Development Programme (NNDP) itu dalam satu majlis anjuran Sri KL International School minggu lalu, memberi ruang kepada saya untuk memahami prinsip kejayaan yang dipegangnya selama ni – Pelajaran harus seiring dengan sukan demi kelangsungan hidup selepas fasa bergelar atlet.

Rakan sepasukannya, Karishma S. Loganathan juga tidak ketinggalan bergelar graduan UPM pada majlis konvokesyen tahun ini – namun siapa sangka, pemain yang seringkali mengisi posisi penjaring itu pernah kehilangan abang tersayang dan segulung ijazah yang kini sudah berada di dalam genggaman adalah hadiah terbaik buat insan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan atlet manis ini.

A post shared by Karishma (@reshyma)



Selepas nama Karishma dilaungkan pengacara majlis, giliran Zaidatul Husna Zulkifli atau lebih mesra disapa Along untuk naik ke atas pentas bagi menerima Ijazah yang diidamkannya selama ini. Lebih manis, atlet olahraga itu juga berpeluang meraikan kejayaan bersejarah ini bersama adik kembarnya, Zaidatul Husniah Zulkifli – ratu pecut negara yang menamatkan kemarau enam tahun pingat acara 200meter menerusi pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja yang turut menyaksikan gandingannya dalam kuarter 4x100meter dibarisi Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal dan Nur Aisyah Rofina Aling berhasil menyumbang pingat gangsa.

A post shared by Zaidatul Husna Zulkifli (@usnazulkifli_along)