Kemeriahan Netball Super League (NSL) 2023, yang akan bermula bulan depan akan dapat dinikmati secara komprehensif di Sinar Harian selepas satu kolaborasi dijalin bersama Astro Arena.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Sinar Harian, sekali gus langkah untuk lebih banyak kerjasama demi memartabatkan industri sukan di negara ini.

“Kami daripada pihak Astro amat berbangga untuk mengumumkan jalinan kerjasama dengan pihak Sinar Harian untuk memperkasakan industri sukan, terutama dalam bola jaring ini.

“Namun, kami melihat kolaborasi lebih luas bukan sahaja dalam sukan bola jaring dan turut dalam liga komersial yang lain, sekali gus menyatukan dua entiti ini dengan misi yang sama,” katanya.

Sebagai rekod, musim ketiga NSL 2023 melibatkan penyertaan KL Wildcats, Johor Jewels, Pahang Tulips, Selangor Angels, Negeri Sembilan Venoms, Perak Phoenix, Putrajaya Dynamites dan Terengganu Thunderbolts, dan akan menyingkap cabaran pada 13 Oktober hingga 5 November ini di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Dalam pada itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin, berkata peluang kolaborasi berkenaan dilihat amat menarik apatah lagi bola jaring merupakan antara sukan yang popular di negara ini.

“Bola jaring adalah salah satu sukan agak popular dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama dalam komuniti setempat. Ramai juga yang minat bola jaring tetapi pendedahan itu kurang.

“Jadi, bagi kami, memang berbesar hati menerima jemputan kolaborasi ini kerana Sinar Harian boleh menjadi platform untuk meluaskan sukan ini.

“Pelbagai pengisian akan diatur bersama Astro Arena untuk memastikan kemeriahan ini akan dapat dirasai oleh peminat bola jaring,” katanya.

-- Sinar Harian