Wizards Washington kehilangan tonggak utama, Russell Westbrook, bagi tempoh sekurang-kurangnya seminggu berikutan kecederaan paha kiri.

Westbrook akan menjalani pemeriksaan lanjut pada hujung minggu ini kerana kerap dibelenggu masalah itu sejak awal musim NBA ini, menurut Wizards sebentar tadi.

Ia satu tamparan besar buat Wizards yang menghimpunkan rekod 2-8 di sebalik jangkaan tinggi susulan kehadiran bekas bintang Houston Rockets itu.

Bekas MVP itu memperoleh purata 19.3 mata, 11.3 bantuan jaringan dan 9.7 rebound dalam tujuh penampilannya musim ini.




Westbrook sudah pun melakar beberapa sejarah sejak bertukar kelab.

Pemain All-Star sebanyak sembilan kali itu menyertai pemain dalam barisan Hall of Fame, Oscar Robertson, sebagai satu-satunya pemain yang membuka kempen dengan pencapaian triple-doubles dalam empat perlawanan sulung mereka.

Sementara itu, Jimmy Butler dan Bam Adebayo, antara tujuh bintang Miami Heat yang bakal diketepikan ekoran protokal COVID-19 menjelang pertembungan getir dengan Philadelphia 76ers, pagi esok.

Perlawanan di antara New Orleans Pelicans dan Dallas Mavericks serta Celtics-Chicago Bulls hari ini ditangguhkan akibat ancaman pandemik itu.