Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin setakat ini dilaporkan belum lagi memberi kata putus tentang persoalan penggunaan nombor 1 yang bakal digunakan bagi mengharungi musim perlumbaan 2025 yang akan membuka tirainya secara rasmi pada bulan Mac nanti.

Walaupun ia antara tajuk yang sentiasa diperdebatkan dikalangan peminat perlumbaan motosikal paling elit di dunia itu ketika ini, namun Martin lebih memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas isu tersebut.

Selaku pelumba yang akan membawa gelaran juara bertahan pada 2025, Martin yang bakal menggunakan jentera Aprilia untuk musim depan seakan tidak kisah dan tidak meletakan penggunaan nombor plat 1 itu sebagai keutamaan buatnya ketika ini.

Namun beliau pernah memberikan sedikit komen mengenainya September lalu dengan mengakui bahawa status pelumba yang bakal menggunakan nombor berkenaan akan menggalas imej dan tanggungjawab yang sangat besar.

"Ia satu tanggungjawab besar untuk menggunakan nombor 1. Saya masih belum tahu lagi untuk menggunakanya. Tidak ramai orang yang berjaya memenangi sekali lagi untuk menggunakan nombor 1." Katanya kepada media sedikit masa lalu.