Jorge Martin mengakui bahawa dia belum lagi meletakkan sebarang sasaran menjelang pusingan perlumbaan MotoGP bagi edisi 2025 nanti.

Menurut juara dunia 2024 itu, segala penilaian untuk musim akan datang akan hanya mampu dibuat sebaik mengharungi pusingan pertama perlumbaan nanti.

"Belum lagi ada sasaran yang saya letakkan untuk tahun depan kerana sebagai permulaan saya harus bina sesuatu dan terus belajar. Ia bergantung kepada di mana ia akan bermula nanti." Katanya

Selepas tiga minggu bergelar juara dunia MotoGP, pelumba Sepanyol itu ketika ini menghadiri pelbagai acara yang telah diaturkan untuknya terutamanya membabitkan pasukan barunya Aprilia Racing.

Minggu lalu dia juga turut kelihatan menghadiri 'Campioni in Festa' anjuran ibu pejabat Ducati di Bologna, Itali yang diadakan khas untuknya sebagai tanda menghargai pembabitan beliau bersama pasukan itu.

Kesempatan itu juga diambil Martin untuk mengucapkan selamat tinggal dan penghargaan buat kesemua yang terlibat sepanjang musim 2024 hingga membolehkan beliau muncul selaku juara.

"Sesuatu yang menakjubkan apabila anda bergelar juara dunia walaupun sehingga kini belum mampu pulang ke rumah dan ketika ini saya sebenarnya agak keletihan. Ia adalah satu penghormatan buat saya dan ini adalah untuk keluarga saya dan pasukan saya dan semua yang terlibat." Katanya pada majlis tersebut.