Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh, mahu mengambil aura jaguh keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang, dalam melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

Malah, pakar pecut itu menyifatkan semangat mereka tidak akan pernah padam untuk berkayuh biarpun usia sudah mencecah 36 tahun.

“Ambil semangat Datuk Pok Joe (Azizulhasni). Saya seusia dengannya umur sudah 36 tahun.

“Semangat kami tidak akan luntur untuk berkayuh dan dalam hati saya kami sentiasa positif,” katanya.

Mohd Harrif turut mengimbas ketika dia mula berjinak dengan perlumbaan basikal semasa masih dalam usia remaja.

“Saya mula berlumba basikal pada umur belasan tahun lagi. Mula pada tahun 2004 mewakili team Malaysia sehingga sekarang 2024, masih lagi berkayuh.

“Insya-Allah akan ada hari kita (kejayaan). Apa yang penting sentiasa usaha dan tawakal,” katanya.

Azizulhasni meraih pingat emas dalam acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Australia pada Sabtu lalu.

Mohd Harrif pada Ahad lalu meraih tempat ketiga dalam perlumbaan International Apollon Temple Criterium Side di Antalya, Turkiye.

--Sinar Harian