Lionel Messi mendedahkan bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan untuk pulih daripada COVID-19 baru-baru ini.

Penyerang Paris Saint-Germain itu diuji positif apabila pulang ke tanah airnya di Argentina ketika rehat pertengahan musim, seterusnya terlepas kemenangan 4-0 pasukannya ke atas Vannes dalam Coupe de France.

Bagaimanapun, pemenang tujuh Ballon d'Or itu disahkan pulih pada minggu lalu dan kemudian membuat persediaan untuk menghadapi Lyon sebelum pendahulu Ligue 1 itu mengesahkan bahawa bintang tersebut akan "meneruskan protokol pemulihan pasca COVID dalam tempoh beberapa hari lagi."

Bercakap kepada 300 juta pengikutnya di Instagram, Messi menyatakan penghargaannya atas sokongan sepanjang tempoh pemulihannya dan berharap ia tidak akan berterusan.

A post shared by Leo Messi (@leomessi)



Tulisnya di laman sosial: "Selamat tengah hari! Seperti yang anda tahu saya menghidap COVID dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas semua mesej yang diterima dan ingin memberitahu anda bahawa saya mengambil masa yang lebih lama daripada yang saya fikirkan untuk sihat, tetapi saya hampir pulih dan saya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke padang.

"Saya telah memulakan latihan pada hari ini bagi meletakkan diri saya ke tahap 100 peratus, cabaran yang sangat menarik tahun ini akan menyusul dan saya harap kita akan dapat bertemu semula tidak lama lagi. Terima kasih!!!"

Messi telah terlibat secara langsung untuk 10 gol dalam 16 penampilan sejak tiba dari Barcelona dengan mengumpul ​enam gol dan mencipta empat bantuan jaringan. Dia telah mencipta 32 peluang buat rakan sepasukannya dan memiliki purata satu gol dalam setiap 219 minit.

Bagaimanapun, dia hanya meledak sekali dalam 11 perlawanan Ligue 1 setakat ini sepanjang PSG dikendalikan Mauricio Pochettino.