Saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship 2024/2025 yang berlangsung pada rabu menyaksikan Malaysian University Football Team (MUFT) meraih kemenangan sulung selepas menewaskan Young And Profesional Maintenance (YPM) dengan keputusan 4-2.

Bagi ketua jurulatih MUFT, Ridzuan Abu Shah, mengakui berpuas hati dengan komitmen yang ditampilkan anak buahnya dalam usaha memburu tiga mata berharga di laman sendiri meskipun beraksi dalam situasi permukaan padang licin ekoran hujan lebat yang turut menyaksikan perlawanan terpaksa ditangguhkan selama 1 jam 30 minit.

Ridzuan percaya, kemenangan itu mampu melonjakkan semangat pasukannya menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Bbrahim pada Sabtu ini.

Empat jaringan MUFT di Stadium UKM Bangi itu disumbangkan oleh Syahir Abdul Rahman, Hausen Shwahiri serta dua jaringan peribadi tonggak penyerang, Saiful Iskandar sementara Azamuddin Akil dan Arif Abdullah mencetak nama selaku penjaring buat pasukan pelawat.

"Separuh masa pertama pemain kurang memberikan sepenuh tumpuan selepas dua kali pihak lawan melakar kebangkitan namun, berkat kesungguhan para pemain tetap memberikan kemenangan pada akhir permainan.

"Sedikit-sebanyak ia menjadi pemangkin untuk bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini, di Stadium Sultan Ismail," katanya.